KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Majlis Amanah Rakyat (MARA) berperanan sebagai payung besar ekonomi dan pusat sehenti bagi pembangunan bumiputera.
Institusi itu diseru menggalas amanah mentadbir aspek pembangunan bumiputera menerusi penyelarasan pelbagai agensi dan dasar berkaitan.
“Ini merupakan satu tugas baharu supaya semua agensi yang dikelolakan Kementerian Ekonomi, bersama kementerian lain, dapat diselaraskan.
“Apabila melibatkan pusat sehenti pembangunan bumiputera, kita boleh mengalihkan tanggungjawab itu untuk diamanahkan kepada MARA, selaras dengan tujahan keenam yang disentuh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi.
“Kita juga mesti berani menerobos ke lapangan baharu, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Kuala Lumpur pada Ahad.
Gagasan 40 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) menggariskan tujuh tujahan utama bagi memperkasa agenda bumiputera.
Antaranya memperkukuh peranan MARA sebagai konglomerat berteraskan pendidikan dan keusahawanan, selain meningkatkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi.
Gagasan itu turut memberi fokus kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pembangunan tenaga kerja mahir, serta melahirkan usahawan Bumiputera bertaraf global yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Selain itu, penekanan turut diberikan kepada pengukuhan ekosistem MARA sebagai pusat sehenti serta amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti.


















































































































































































































































