ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menamatkan spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan memberi bayangan jelas bahawa pembubaran DUN tidak akan berlaku dalam waktu terdekat.
Kenyataan tersebut sekali gus menepis desas-desus yang bertiup kencang kebelakangan ini yang mendakwa Johor bakal berdepan pilihan raya lebih awal daripada tempoh matang.
“Hari ini, dalam dewan yang mulia ini saya ingin umumkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tidak akan dibubarkan hari ini.
“Jadi semua pihak boleh bertenang, jangan risaukan PRN. Sebaliknya semua wakil rakyat diminta untuk terus memberikan khidmat terbaik untuk rakyat dan kawasan masing-masing,” katanya.
Menurut Onn Hafiz, tumpuan pentadbiran beliau kini adalah sepenuhnya terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program demi kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Beliau menegaskan bahawa masih banyak agenda pembangunan yang perlu diselesaikan sebelum memikirkan soal mandat baharu.
Tegas beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang DUN Johor di Kota Iskandar hari ini, keutamaan setiap wakil rakyat seharusnya tertumpu kepada khidmat bakti di kawasan masing-masing.
Untuk rekod, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kini memegang mandat kukuh di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap tersebut hasil kemenangan besar pada PRN Johor ke-15, Mac 2022.
Ketika itu, BN berjaya membentuk kerajaan negeri yang stabil dengan penguasaan majoriti dua pertiga menerusi kemenangan 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Manakala, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan tiga kerusi, dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebanyak satu kerusi.
Walaupun khabar angin bertiup kencang, dari segi perlembagaan, DUN Johor hanya dijangka terbubar secara automatik pada April 2027.
Mengikut peraturan, PRN mesti dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran tersebut bagi memilih barisan kepimpinan baharu.
Dengan pengumuman ini, suhu politik di negeri Harimau Selatan itu dijangka kembali stabil, memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memacu agenda Johor Maju 2030 tanpa gangguan kempen pilihan raya buat masa ini.- CHX


















































































































































































































































