Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) di negeri ini agar mula menyusun strategi dan memperkukuh persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam landskap politik semasa.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR menekankan bahawa kekuatan dalaman dan perpaduan antara parti komponen merupakan kunci utama untuk mengekalkan mandat rakyat.
“Saya berharap kepada semua ahli, penyokong, mahupun golongan atas pagar agar maklum mengenai perkara ini. Apa yang penting, kita kena kuatkan jentera dan saf-saf kita.
“AMANAH, PKR dan DAP harus bersiap sedia dalam apa cara sekalipun, sama ada di Negeri Sembilan mahupun di peringkat nasional. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis perjumpaan jentera parti di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang sengaja mencetuskan kemelut politik ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi global yang getir.
Menurut beliau, tindakan mempolitikkan semua perkara hanya akan merugikan rakyat yang kini terbeban dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Antara intipati ucapan beliau termasuk menyeru jentera agar tidak lagi bergerak secara 'biasa' sebaliknya melipatgandakan usaha selari dengan cabaran ekonomi dunia.
Beliau turut menggesa menghentikan retorik politik berlebihan dan fokus kepada penyelesaian masalah kos sara hidup.
“Hari ini bukan masanya untuk kita hanya bercerita tentang politik semata-mata. Kita mahu bincangkan bagaimana kita boleh menawan hati rakyat dengan mengurangkan bebanan mereka. Inilah tugas hakiki yang harus kita laksanakan," katanya.


















































































































































































































































