BATU PAHAT: Tindakan PAS mengarahkan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta kehadiran pemimpin parti itu dalam kempen BN didakwa boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkembangan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana PAS bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama dilihat memberi sokongan kepada BN di beberapa kawasan.
Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja mengelirukan pengundi, malah berpotensi mencetuskan perpecahan dalam UMNO yang selama ini mempunyai pendirian tersendiri terhadap PAS di peringkat nasional.
“Kita tidak boleh menghalang kerana itu hak mereka, namun apa yang lebih saya bimbangkan ialah mesej yang cuba disampaikan PAS. Ia mengelirukan kerana seolah-olah mahu memecahkan UMNO sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi walkabout calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri, di Rengit.
Isyarat Berbeza PAS di Johor
Mujahid menjelaskan bahawa UMNO di peringkat Persekutuan sebelum ini secara terbuka menolak kerjasama dengan PAS selepas berakhirnya Muafakat Nasional (MN).
Namun, katanya, situasi yang berlaku di Johor memperlihatkan gambaran berbeza apabila PAS didakwa menghantar isyarat yang dilihat memihak kepada BN.
“Kita tahu UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PAS pada peringkat nasional. Tiba-tiba di Johor, PAS membawa isyarat lain yang nampak baik untuk UMNO Johor, tetapi sebenarnya boleh menambahkan lagi fraksi dan keretakan dalam parti itu,” katanya.
PAS Mahu Pertahan Kuasa Politik Melayu-Islam
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memaklumkan bahawa parti itu tetap komited mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam di Johor dengan menggerakkan seluruh jentera parti di 11 kerusi yang ditandingi pada PRN Johor.
Beliau turut menggesa pengundi supaya tidak memberikan undi kepada PH, termasuk di kawasan yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan PH.
Pada masa sama, Pengarah Pilihan Raya PAS Batu Pahat, Misran Samian, dan Ahli Jawatankuasa PAS kawasan, Hazrin Abd Hamid, dilihat menghadiri Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat di Rengit.
Dakwaan Mesej Bercanggah Dalam PN
Mengulas lanjut, Mujahid mendakwa PAS turut menghantar mesej yang bercanggah dalam PN apabila parti itu dikatakan hanya membantu calon PN daripada PAS dan bukannya calon PN daripada BERSATU walaupun menggunakan logo gabungan yang sama.
“Mereka bertanding atas logo PN, tetapi hanya membantu calon PAS dan bukannya BERSATU. Itu mesej yang sangat mengelirukan,” katanya.
Beliau menyifatkan keadaan itu seperti berada dalam satu rumah tetapi enggan bekerjasama antara satu sama lain.
PH Tegaskan Kerjasama Kukuh
Menurut Mujahid, situasi yang berlaku dalam PN jauh berbeza dengan PH yang menggerakkan jentera secara bersama tanpa mengira parti komponen yang bertanding.
Katanya, jika AMANAH tidak meletakkan calon di sesuatu kawasan, parti itu akan membantu calon PKR atau DAP, dan begitu juga sebaliknya.
“Rakyat Johor perlu melihat sama ada PAS benar-benar menawarkan kestabilan politik ataupun sekadar mewujudkan kekeliruan mengenai hala tuju mereka. PH jelas pendiriannya, iaitu mahu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan perpaduan masyarakat majmuk,” katanya. - CHX

















































































































































































































































