PKR Negeri Sembilan sudah serahkan nama calon untuk PRN

1 Jul, 2026

SEREMBAN: PKR Negeri Sembilan sudah memajukan senarai nama calon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti itu bagi tujuan diteliti dan tapisan sebelum dimuktamadkan untuk bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pihaknya menghantar antara tiga hingga lima nama bagi setiap kerusi DUN untuk dicalonkan dalam PRN kali ini, namun setakat ini keputusan siapa yang akan dipilih sebagai calon belum dimuktamadkan.

"Alhamdulillah, kita menerima maklum balas yang baik daripada mereka. Ramai yang menghantar nama, ada yang melalui Majlis Pimpinan Negeri manakala ada juga memajukan terus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) selain tidak kurang juga melalui Jabatan Pilihan Raya Pusat.

"Mereka dari pelbagai latar belakang, ada wanita, anak muda dan orang lama, tapi tak la lama sangat.

"Senarai akan diteliti dan perkara itu (pemilihan) terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi di pusat untuk angkat nama-nama mereka kerana kita bersikap terbuka," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Geran Aktiviti Kampung Orang Asli Negeri Sembilan 2026, di Klana Resort di sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis.

Aminuddin yang juga Menteri Besar dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, pihaknya juga yakin dan percaya, parti gabungan DAP dan AMANAH juga sudah berbuat demikian dengan menyenaraikan senarai nama calon parti masing-masing.

"Bagi kita perkara itu (senarai mana calon) dianggap selesai dan saya yakin DAP dan AMANAH juga sudah berbuat demikian sebelum hari penamaan calon pada 18 Julai ini.

"Kita juga sedang meneliti dan mencari satu tarikh sesuai bagi mengumumkan senarai calon yang akan bertanding, yang pasti sebelum hari penamaan calon," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos 2026. - BERNAMA

You May Also Like...