Bekas Timbalan Speaker Parlimen antara 16 calon BERSATU

25 Jun, 2026

MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan senarai 16 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan beberapa nama mencuri perhatian termasuk dua beranak serta bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Rasman Ithnain (59) bersama anaknya, Mohamad Alias Rasman (35), masing-masing dicalonkan di DUN Sedili dan DUN Panti.

Turut mencuri perhatian ialah Datuk Rashid Hasnon, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, yang akan bertanding di DUN Senggarang. Beliau dijangka berdepan calon PKR, Onn Abu Bakar, sekali gus mengulangi pertembungan mereka pada PRU15 di Parlimen Batu Pahat.

Bekas ADUN UMNO Sertai PN Pertahan Kerusi

Sementara itu, bekas ADUN UMNO, Abdul Mutalip Abd Rahim, yang baru keluar parti, turut menjadi kejutan apabila bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan DUN Layang-Layang.

Dalam perkembangan sama, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, sekali lagi diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong.

Senarai Penuh Calon BERSATU

Selain itu, antara calon lain yang diumumkan ialah:

  • Fairulnizar Rahmat (Penawar)
  • Aisah Esa (Johor Lama)
  • Lim Chin Eng (Stulang)
  • Muhamad Amerul Muhamad (Tenggaroh)
  • Sye Mohamad Syed Alwi (Rengit)
  • Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja)
  • Muhammad Syafiq Aziz (Semarang)
  • Mohd Radzi Amin (Bukit Naning)
  • Mahfidz Omar (Serom)
  • Uzzair Ismail (Kemelah)
  • Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin (Bukit Pasir)

BERSATU Tampil Calon ‘Boleh Menang’

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua calon dipilih berdasarkan kriteria ketat bagi memastikan peluang kemenangan dalam PRN Johor.

Menurut beliau, proses pemilihan melibatkan tapisan menyeluruh termasuk semakan dengan Jabatan Insolvensi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita menyenaraikan calon boleh menang selepas melalui pelbagai tapisan bagi memastikan integriti dan kebolehan mereka,” katanya semasa majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh. - CHX

You May Also Like...

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

PAS sokong calon BN di PRN Johor cetus kekeliruan – Mujahid

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkembangan berkenaan menimbulkan tanda tanya kerana PAS bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama dilihat memberi sokongan kepada BN di beberapa kawasan.