KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di semua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bermula 1 Januari 2027.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata inisiatif ini akan dimulakan secara berperingkat dengan projek awal melibatkan 10 MRSM bermula 1 Julai 2026, selepas proses pemilihan dan tapisan selesai sepanjang Jun.
“Sebagai permulaan, 10 MRSM akan memulakan inisiatif ini mulai 1 Julai setelah proses pemilihan dan penyaringan dilaksanakan bulan ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook dan Threads.
Projek Rintis Tunjuk Keputusan Positif
Menurut Dr Asyraf, kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati projek rintis di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau berjaya meningkatkan disiplin pelajar secara signifikan, malah mencapai hampir sifar kes buli.
Beliau menjelaskan, dapatan tersebut diperoleh menerusi laporan lengkap bertajuk Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera, yang diserahkan oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.
Antara Dapatan Utama Kajian
Laporan setebal 191 muka surat itu merumuskan beberapa impak positif utama, antaranya:
- ✅ Warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan asrama
- ✅ Penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa dan pentadbir
- ✅ Kehadiran warden secara konsisten mengurangkan peluang berlakunya buli dan vandalisme
- ✅ Pelajar lebih berdisiplin, menepati masa serta menjaga kebersihan diri dan asrama
- ✅ Nilai hormat dan adab dalam kalangan pelajar semakin meningkat
- ✅ Beban tugas guru berkurang, membolehkan fokus kepada akademik
Kajian turut mendapati penurunan ketara dalam isu disiplin pelajar, dengan kes buli dilaporkan hampir sifar sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis.
Usaha Perkukuh Sistem Asrama MRSM
Dr Asyraf optimis bahawa pelaksanaan inisiatif ini mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama serta melonjakkan kecemerlangan MRSM secara menyeluruh.
“Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang seimbang, holistik dan berakhlak tinggi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta kerjasama UPM untuk:
- Membantu menyediakan modul latihan khas kepada warden baharu.
- Melanjutkan kajian berkaitan isu buli mental secara lebih holistik.


















































































































































































































































