KEADILAN Johor pertimbang figura wanita terajui kempen PRN

18 Jun, 2026

JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor tidak menolak kemungkinan untuk mengetengahkan seorang figura wanita sebagai wajah utama kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata perkara tersebut telah pun dibincangkan di peringkat kepimpinan parti, namun keputusan muktamad masih belum dibuat.

Menurut beliau, pengumuman rasmi mengenainya dijangka dilakukan oleh Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa yang sesuai.

“Saya pernah berbincang dengan Presiden. Beliau kata kita tengok dahulu. Memang ada perbincangan mengenainya dan kita tunggu pengumuman rasmi nanti,” katanya dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.

Dr Zaliha menjelaskan, pengumuman mungkin dibuat sama ada semasa penamaan calon atau ketika kempen PRN berlangsung.


Wanita Tonggak Penting Masyarakat dan Ekonomi

Beliau menegaskan bahawa wanita memainkan peranan penting bukan sahaja dalam institusi keluarga, tetapi juga dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi negara.

Katanya, ramai wanita memiliki potensi besar yang perlu digilap menerusi dasar kerajaan yang lebih inklusif.

“Wanita di luar sana mempunyai potensi sangat tinggi. Kita perlu pastikan dasar kerajaan membantu mereka berkembang,” ujarnya.

Tambah beliau, keperluan wanita berbeza mengikut demografi seperti bandar, pinggir bandar dan luar bandar, justeru pendekatan dasar perlu bersifat lebih spesifik dan setempat.


Ramai Wanita Berpendidikan Tinggi Di Luar Tenaga Kerja

Dr Zaliha turut membangkitkan isu wanita berpendidikan tinggi yang masih berada di luar pasaran kerja atas pelbagai faktor, termasuk tanggungjawab keluarga.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan dasar mesra wanita bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan.

Antara contoh inisiatif yang diketengahkan ialah pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, yang pernah diperkenalkan ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Pada awalnya kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk pusat penjagaan kanak-kanak. Selepas mendapat sambutan baik, jumlah itu ditingkatkan kepada RM30 juta,” jelas beliau.

Inisiatif ini bertujuan membantu ibu bekerja mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya dengan lebih efektif.


Dasar Wanita Bukan Sekadar Strategi Undi

Mengulas strategi menarik sokongan wanita menjelang PRN Johor, Dr Zaliha menegaskan bahawa wanita tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai sumber undi.

Sebaliknya, kerajaan perlu memahami dan memenuhi keperluan sebenar golongan tersebut melalui dasar yang menyeluruh dan inklusif.

“Kita jangan tinggalkan wanita – bukan hanya untuk undi, tetapi kerana tanggungjawab kita,” tegasnya.

Beliau menambah, wanita mempunyai keutamaan berbeza, khususnya berkaitan keluarga, anak-anak dan kesejahteraan rumah tangga, yang mesti diambil kira dalam perancangan dasar kerajaan. - CHX

You May Also Like...