KUALA LUMPUR: Pemuda DAP hari ini menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sebagai EXCO Melaka.
Sayap DAP atau DAPSY itu memaklumkan tindakan berkenaan perlu diambil, berikutan penegasan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, bahawa partinya akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
"Dr Mohamad Akmal harus letak jawatan segera dan laksanakan pendirian yakni keluar Kerajaan Perpaduan (di Melaka). Jangan cakap tidak serupa bikin.
"Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, kerajaan Melaka dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyokong Kerajaan Perpaduan, dengan beberapa EXCO dan Timbalan EXCO dilantik dari kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).
Gesaan supaya Dr Mohamad Akmal meletak jawatan itu susulan kenyataannya pada Sabtu lalu pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, meminta partinya menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dan menghidupkan semula Muafakat Nasional dengan PAS.
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menimbulkan pelbagai reaksi dari kalangan penyokong PH dan pemimpin serta ahli UMNO sendiri, termasuk ada yang bersetuju dan membantah.
Hari ini, menerusi dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, Dr Mohamad Akmal turut memberi bayangan akan berundur, namun tidak menjelaskan maksud disebalik langkah itu.
Dalam pada itu, Pemuda DAP mendakwa, tafsiran songsang Dr Muhamad Akmal kononnya Presiden UMNO bersetuju dengan kerjasama penyatuan orang Melayu, jelas cubaan mengelirukan rakyat dan tidak menghormati pendirian parti sendiri.
"DAPSY ingin mengingatkan bahawa pengalaman 2020–2022 jelas menunjukkan 'penyatuan' bersama antara UMNO-PAS-BERSATU sudah membawa ketidakstabilan dan kerugian kerusi kepada UMNO sendiri.
"Sebarang usaha untuk mengulangi langkah sama hanyalah mengkhianati mandat rakyat dan menjejaskan masa depan parti sendiri," katanya.
Sayap DAP itu juga menegaskan supaya fokus kini ditumpu untuk memacu pemulihan ekonomi, meringankan kos sara hidup dan meneruskan reformasi. - CHX

















































































































































































































































