Perjanjian Kerajaan Perpaduan Persekutuan tidak mengikat Johor – Asyraf Wajdi

10 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor berikutan acuan politik negeri itu yang telah dibentuk lebih awal.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, Kerajaan Negeri Johor pimpinan Barisan Nasional (BN) wujud sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, malah ia tidak melibatkan kerjasama dengan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).

"Justeru, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia di peringkat Persekutuan hakikatnya tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri, termasuk pentadbiran di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Hak Tentukan Pendirian Pilihan Raya

Mengulas lanjut mengenai dinamika politik semasa, Asyraf Wajdi berkata UMNO dan BN sentiasa mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian serta hala tuju parti dalam mendepani mana-mana pilihan raya akan datang.

Ini termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, keputusan UMNO dan BN untuk mempertahankan mandat sedia ada di peringkat negeri sama sekali tidak boleh disalah tafsir sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada agenda Kerajaan Persekutuan.

"Ia adalah amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan untuk menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat bagi menentukan masa depan negeri mereka," katanya lagi.

Kronologi Ringas Ringkas Pentadbiran Johor

Sebagai rekod, landskap politik Johor berbeza dengan Persekutuan berdasarkan garis masa pembentukan kerajaan berikut:

Mac 2022: BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRN Johor dan membentuk kerajaan negeri secara solo.

November 2022: Kerajaan Perpaduan dibentuk di peringkat Persekutuan pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hasil gabungan BN, PH, GPS, GRS dan parti-parti lain. - CHX

You May Also Like...