SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan perkara itu dalam sidang media khas di kediamannya, di sini, malam tadi, sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN sejak beberapa minggu lalu.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lalu.
Aminuddin berkata, pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, semalam.
"Alhamdulillah jam 8.30 malam tadi, saya telah menghadap DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap dan Tuanku telah memperkenankan pembubaran DUN mulai esok 5 Jun 2026, hari Jumaat," katanya.
PH tanding semua 36 kerusi
Aminuddin berkata, pembahagian kerusi sudah diselesaikan dengan Pakatan Harapan (PH) akan bertanding semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Beliau juga yakin pembubaran DUN itu dapat menamatkan kemelut politik dan kepimpinan yang berlaku.
"Mula-mula dia tarik dan kemudian sekejap dia sokong dan kemudian tak sokong, jadi sekarang kita serahkan mandat semula kepada rakyat," katanya.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, beliau mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bagi pembubaran DUN berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pihak berkenaan menetapkan tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi.
"Berhubung kehadiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menghadap Tuanku petang tadi, ia kerana Tuanku inginkan persetujuan atau pengesahan berkaitan pembubaran DUN," katanya.
PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula lima kerusi.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin lalu.
Ia sekali gus mengakhiri desas-desus mengenai pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kian hangat diperkatakan apabila pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri mengadakan satu mesyuarat khas di kediaman rasmi Menteri Besar, Selasa lalu.
BH sebelum ini melaporkan Negeri Sembilan mungkin berdepan satu krisis perlembagaan menjelang 10 Jun ini jika sidang DUN tidak diadakan sebelum tarikh berkenaan.
Bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To, dipetik berkata bawah Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, sidang DUN perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas kali terakhir diadakan pada 11 Disember 2025.
Beliau dilaporkan mendakwa jika DUN gagal bersidang dalam tempoh enam bulan sebagaimana ditetapkan perlembagaan negeri, isu pembubaran automatik boleh timbul. - CHX


















































































































































































































































