JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dijangka memuktamadkan jumlah kerusi serta senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam tempoh dua minggu.
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, fokus utama parti kini adalah rundingan pembahagian kerusi, penyelarasan jentera dan pemilihan calon bagi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
“Kita telah memikirkan kemungkinan pembubaran DUN Johor sejak dua bulan lalu dan semua persiapan telah diatur.
“Dengan pembubaran sekarang ini, parti perlu bergerak lebih pantas untuk memastikan isu pembahagian kerusi, persediaan logistik serta calon dapat dilengkapkan segera,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara rasmi pada Isnin, sekali gus membuka laluan kepada PRN Johor ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penting pilihan raya termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian bagi 56 kerusi DUN di negeri itu.
Sementara itu, Amirudin optimis pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) akan berjalan lancar hasil kerjasama erat dalam gabungan tersebut.
Tambah beliau, sebarang pertimbangan terhadap kerjasama dengan gabungan lain akan dibincangkan oleh Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi gabungan berkenaan. - CHX


















































































































































































































































