SEREMBAN: Spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semakin hangat diperkatakan selepas Johor mengambil langkah sama pada Isnin.
Difahamkan, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) bersama pemimpin parti mula hadir ke Kediaman Rasmi Menteri Besar seawal jam 9.30 pagi pada Selasa.
Kehadiran mereka dipercayai bagi menghadiri mesyuarat khas yang dikaitkan dengan kemungkinan pembubaran DUN Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada sidang media akan diadakan selepas mesyuarat tersebut.
Beliau turut memaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dijadual menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Rabu.
“Esok seperti biasa, sebelum Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan, Menteri Besar akan mengadap Tuanku,” katanya kepada media.
Perkembangan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat apabila sebahagian pihak menggesa Negeri Sembilan mengambil pendekatan serupa dengan Johor iaitu membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Tinjauan di media sosial juga mendapati perbincangan semakin rancak susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP merangkap Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini.
Dalam ucapannya di Konvensyen PH Johor pada 17 Mei lalu, beliau menyatakan Negeri Sembilan berkemungkinan mengikut langkah Johor sekiranya negeri itu membubarkan DUN.
Sementara itu, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyatakan sokongan sekiranya DUN dibubarkan bagi membolehkan rakyat menentukan semula mandat mereka.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin berkata, langkah tersebut dilihat wajar dalam konteks landskap politik semasa bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri terus terpelihara.
Pada masa sama, Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menegaskan pihaknya sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya jika diadakan dalam masa terdekat.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan kesesuaian pembubaran DUN dalam keadaan semasa yang turut melibatkan aspek berkaitan adat dan perlembagaan negeri.
“Apa-apa pun, Wanita UMNO Negeri Sembilan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia,” katanya.
Sebelum ini, Aminuddin tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diadakan tahun ini, bergantung kepada perkembangan dan kesesuaian semasa.
“Kita tengok keadaan. Saya tidak menolak kemungkinan PRN tahun ini atau tahun depan. Semua bergantung kepada situasi,” katanya.
Perkembangan terkini ini terus menjadi tumpuan pemerhati politik yang melihat Negeri Sembilan sebagai antara negeri penting yang berpotensi menyusul dalam gelombang pembubaran DUN di beberapa negeri.


















































































































































































































































