Sebar cinta, kasih sayang tenggelamkan hasutan kebencian – PM

31 May, 2026

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar menghayati nilai kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sempena sambutan Hari Wesak, pada Ahad.

Menurut beliau, sambutan Hari Wesak merupakan ruang penting untuk masyarakat merenung nilai-nilai luhur yang menjadi asas kehidupan harmoni dalam masyarakat majmuk.

“Nilai-nilai ini bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan, malah terus relevan dalam membina masyarakat yang saling memahami dan menghormati,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Perpaduan Dalam Kepelbagaian

Anwar menegaskan bahawa dalam sebuah negara yang rencam dari segi budaya, agama dan latar belakang kehidupan, nilai cinta dan kasih sayang yang dizahirkan sempena Hari Wesak membawa makna yang mendalam.

Tambah beliau, semangat ini penting dalam memperkukuh hubungan antara kaum sekali gus memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Tolak Perpecahan, Suburkan Kasih Sayang

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mengenai kewujudan segelintir pihak yang cuba menimbulkan perpecahan antara kaum dan agama.

Namun, Anwar percaya pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan mampu menangkis unsur negatif tersebut.

“Penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman,” ujarnya.

Ucapan Kesejahteraan Hari Wesak

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha di Malaysia.

“Semoga sambutan Hari Wesak ini terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang menyatukan kita sebagai bangsa yang beradab dan bermaruah,” katanya. - CHX

You May Also Like...