Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026: Anwar Ibrahim seru budaya membaca demi Malaysia MADANI

30 May, 2026

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghargai sambutan luar biasa rakyat terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung mulai hari ini hingga 7 Jun.

Dalam perkongsian di Facebook, beliau menekankan bahawa kehadiran pelbagai lapisan masyarakat – ibu bapa, guru, pendidik, mahasiswa hingga kanak-kanak – menjadi bukti bahawa budaya membaca masih berakar kuat dalam jiwa rakyat Malaysia.

“Sering saya tegaskan bahawa kecintaan terhadap ilmu tidak seharusnya lahir kerana peperiksaan, pengiktirafan atau janji untuk kedudukan semata. Yang lebih utama ialah rasa nikmat dalam menuntut ilmu, atau lazzatul ma’rifah,” kata Anwar.

Beliau turut menekankan bahawa cabaran utama masyarakat kini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi bagaimana memilih ilmu yang bermutu dan bermanfaat.

Anwar menyeru rakyat untuk memanfaatkan PBAKL sebagai wadah membina generasi yang cintakan pembacaan, luas pengetahuannya, dan teguh nilai kemanusiaannya demi sebuah Malaysia MADANI yang berbudaya dan berperadaban. - CHX

You May Also Like...