KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh, membidas kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) yang menggesa pembubaran Parlimen serta menuduh UMNO sebagai “kacang lupakan kulit” dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak berasas kerana pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan berlaku tanpa sokongan Barisan Nasional (BN).
“DAPSY mungkin terlupa, tanpa sokongan BN belum tentu mereka mampu membentuk kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa semua pihak mengetahui peranan BN dalam memastikan kestabilan politik negara selepas PRU15.
Isu Pembubaran Parlimen Jadi Perdebatan
Sebelum ini, DAPSY dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mempertimbangkan pembubaran Parlimen jika UMNO Johor memilih untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
DAPSY turut menyifatkan tindakan segelintir pemimpin UMNO itu sebagai “kacang lupakan kulit” kerana didakwa tidak menghargai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Akmal Cabar DAP Tarik Sokongan Negeri
Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, DAP tidak seharusnya hanya bersuara di media sosial tanpa tindakan konkrit.
Sebaliknya, beliau mencabar parti itu menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN.
“Tarik sokongan di Perak dan Pahang. Kita lawan secara ‘gentleman’ dan serahkan mandat kembali kepada rakyat,” katanya.
Tiada Perjanjian BN Wajib Bersama PH
Dr Akmal turut menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian yang mewajibkan Barisan Nasional menghadapi pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).
Katanya, cadangan untuk bergerak solo bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dibangkitkan oleh Pemuda UMNO sejak tahun lalu.
“Tidak perlu melatah apabila UMNO Johor bercakap soal bergerak solo. Sejak awal memang tiada perjanjian wajib bersama,” jelas beliau.
Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan Negara
Menurut beliau, keputusan membentuk Kerajaan Perpaduan dibuat bagi memastikan kestabilan negara selepas tiada gabungan memperoleh majoriti mudah dalam PRU15.
Langkah itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Cabaran Terbuka di Melaka
Dalam perkembangan sama, Dr Akmal turut mencabar DAP supaya keluar daripada kerajaan negeri Melaka sekiranya benar-benar ingin menguji kekuatan politik masing-masing.
“Jika mahu uji kekuatan, kita buka gelanggang. ‘Bring it on’,” katanya.


















































































































































































































































