SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pemakluman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung persetujuan terhadap lokasi tapak yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya (PJ), yang sebelum ini menjadi polemik politik pihak pembangkang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dicapai hasil mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei lalu yang melibatkan agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan.
“Pengumuman ini memperlihatkan kerjasama utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta memberi pencerahan tentang kaedah kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam isu kesihatan awam, khususnya berkaitan pembinaan dan pengoperasian hospital seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, usaha mengenal pasti tapak bagi pembinaan hospital awam di Petaling Jaya telah dipergiatkan sejak 2018, susulan peningkatan populasi di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta penduduk, termasuk lebih 800,000 di Petaling Jaya.
Pada masa ini, katanya, penduduk kawasan itu bergantung kepada beberapa fasiliti utama seperti Hospital Sungai Buloh dengan kapasiti 1,037 katil, Hospital Shah Alam (490 katil) serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (946 katil) yang dikendalikan Kementerian Pengajian Tinggi.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi mengatasi isu akses dan kesesakan hospital di Selangor, termasuk melalui pembinaan Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang siap pada 2022, serta projek Hospital Kapar yang dijangka siap hujung tahun ini.
Amirudin berkata lokasi tapak yang dipersetujui itu memenuhi keperluan dari segi aksesibiliti, kapasiti, kos tanah serta kedudukannya berhampiran kawasan perumahan.
“Tapak tersebut membolehkan pembinaan hospital berkapasiti 500 katil secara konsep vertikal seperti Hospital Ampang, tanpa memerlukan kawasan tanah yang luas, sekali gus mengoptimumkan kos pembinaan,” katanya.
Menurut beliau, lawatan tapak oleh Kementerian Kesihatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan penglibatan pelbagai agensi negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.
“Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudah cara dan menyegerakan urusan berkaitan tanah bagi memastikan pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk di daerah Petaling, khususnya di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong,” katanya.
Sebelum ini, isu pemilihan lokasi hospital berkenaan dipolitikkan oleh pemimpin Bersatu-PN Selangor yang mendakwa ia sebagai kelemahan pentadbiran negeri, selain membandingkannya dengan perkembangan pembinaan hospital swasta di negeri itu.


























































































































































































































































