KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 15 sen serta 20 sen seliter, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia turun 10 sen seliter bagi tempoh 28 Mei hingga 3 Jun ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit RON95 turun kepada RM3.92 seliter daripada RM4.07, RON97 kepada RM4.65 daripada RM4.85, manakala diesel kepada RM4.87 daripada RM4.97.
Menurut MOF, penurunan ini selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu lalu.
Bagaimanapun, ketidaktentuan pasaran petroleum global masih berterusan susulan konflik di Asia Barat serta kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau itu.
Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi memelihara kelangsungan hidup rakyat.
Harga bersubsidi yang dikekalkan ialah RON95 menerusi BUDI95 pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan (RM2.15), serta melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (RM2.05) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15).
Kenyataan itu menyebut lebih 14 juta penerima layak menikmati subsidi RON95, dengan lebih 90 peratus daripada jumlah penggunaan bahan api berkenaan melibatkan penerima subsidi.
Pada harga tanpa subsidi RM3.92 seliter, penggunaan 200 liter menelan kos RM784, namun kerajaan menanggung RM386 bagi setiap penerima yang menggunakan penuh kelayakan BUDI95.
Penerima hanya membayar RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.
MOF menegaskan kerajaan akan terus mengambil pendekatan bersasar untuk melindungi rakyat daripada turun naik harga bahan api selain memastikan bekalan negara kekal mencukupi dan terjamin.
Rakyat juga diseru mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat dengan merancang perjalanan lebih cekap serta mengurangkan perjalanan tidak perlu.


















































































































































































































































