KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura terus memperkukuh hubungan strategik dalam sektor kesihatan melalui usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), penyelarasan polisi pelabelan makanan serta penerokaan potensi peluasan pelancongan perubatan merentas sempadan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata komitmen itu dizahirkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dalam satu pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Ong Ye Kung, baru-baru ini.
Beliau berkata antara agenda utama yang diperhalusi termasuklah penyelarasan polisi 'Nutri-Grade' sebagai langkah proaktif dan bersepadu bagi memerangi peningkatan kes NCD di rantau ini.
"Kesepakatan ini mencerminkan tingkat kepercayaan dan komitmen tinggi kedua-dua pihak demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.
Menurut Dr Dzulkefly, Malaysia turut menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang dijangka mempercepat akses teknologi perubatan berkualiti tinggi dan inovatif ke pasaran serantau.
Selain itu, kedua-dua negara sedang meneroka potensi memperluas pelancongan kesihatan merentas sempadan, termasuk memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke fasiliti kesihatan swasta di Johor, serta memperluas perlindungan insurans Medisave.
Langkah berkenaan bukan sahaja memperkukuh akses rawatan, malah dijangka merangsang limpahan ekonomi dan meningkatkan kesalinghubungan kesihatan bagi manfaat rakyat di wilayah selatan tanah air.
"Dalam mendepani cabaran kesihatan awam yang semakin kompleks, kerjasama Malaysia-Singapura menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteraskan kemanusiaan," katanya.
Dalam hantaran berasingan, Dr Dzulkefly yang kini berada di Geneva bagi menghadiri sesi perbincangan peringkat tinggi anjuran Kerajaan Portugal, turut menekankan kepentingan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kesihatan.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan AI mestilah berpaksikan kepercayaan awam dan dilaksanakan secara selamat, beretika serta adil.
"Pengurusan data yang selamat dan sistem kesihatan digital yang saling berhubung adalah amat kritikal. Maklumat pesakit mesti dilindungi dan sistem tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian (silo)," jelas beliau.
Mengulas keberkesanan teknologi itu, Dr Dzulkefly berkata Malaysia telah mula melaksanakan saringan paru-paru berasaskan AI di klinik kesihatan awam dan program lapangan di seluruh negara.
Setakat ini, seramai 9,174 pesakit telah disaring dengan 26.9 peratus dikesan mempunyai keputusan X-ray dada tidak normal, termasuk penemuan 724 nodul paru-paru, 73 kes berisiko tinggi kanser dan beberapa kes disyaki tuberkulosis (TB).
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kecanggihan teknologi AI tidak akan menggantikan peranan pengamal perubatan. - CHX


















































































































































































































































